Majlis perkahwinan impian ialah permulaan bagi kebahagiaan sesebuah pasangan. Walau bagaimanapun, kos majlis perkahwinan semakin meningkat berikutan kenaikan kos hidup di negara ini. Oleh itu, lebih banyak bakal pengantin memilih untuk berjimat cermat dalam merancang perbelanjaan majlis perkahwinan mereka. Namun, ramai mendapati bahawa bajet yang telah ditetapkan tidak mencukupi kerana terpaksa menanggung beberapa caj ‘tersembunyi’ yang sering dilepas pandang.
- Kursus kahwin
Pasangan yang beragama islam hendaklah menghadiri kursus kahwin untuk mendapatkan sijil kursus pra-perkahwinan yang dikeluarkan oleh jabatan agama islam negeri masing-masing. Walaupun kos kursus ini boleh dianggap rendah, iaitu sekitar RM100 ke RM150 seorang, ia tetap menjadi beban kepada pengantin yang kurang berkemampuan. Kos tambahan seperti kos pengangkutan ke lokasi kursus, kos penginapan and kos makan minum juga perlu diambil kira sekiranya bakal pengantin bekerja di luar negeri atau luar negara dan terpaksa menghadiri kursus ini di daerah asal mereka.
- Barang Hantaran
Selain itu, kedua-dua pihak perlu mengambil kira kos yang diperlukan untuk membeli barang hantaran sebagai pemberian kepada pasangan masing-masing. Kos pembelian barangan hantaran ini tidak termasuk dalam wang hantaran. Mengikut perkembangan semasa, kebanyakan pengantin akan memilih hantaran dalam bentuk pakaian, aksesori, set wangian, buah-buahan dan manisan serta barang kemas terutamanya untuk pengantin perempuan. Kos barangan hantaran ini mungkin melonjak tinggi sekiranya hantaran yang berjenama dipilih. Oleh itu, pastikan kos barangan hantaran dimasukkan dalam bajet perkahwinan, dan pastikan barang yang dibeli berpatutan dengan kos yang anda mampu.
- Bunga telur dan uncang hadiah (goodie bag)
Pemberian bunga telur kepada tetamu amat sebati dengan majlis perkahwinan Melayu dan dianggap sebagai suatu elemen yang menunjukkan kesantunan dan budi pekerti masyarakat Melayu. Bunga telur juga menjadi tanda penghargaan kepada tetamu yang datang. Pada masa yang sama, trend perkahwinan terbaru ialah pemberian bunga telur yang disertakan bersama uncang hadiah atau goodie bag. Uncang ini biasanya diisi dengan hadiah seperti buku surah Yasin, tasbih, gula-gula, coklat, sapu tangan kecil dan sebagainya. Kos pembelian bunga telur dan uncang hadiah sering dipandang remeh an tidak dimasukkan ke dalam bajet perkahwinan. Untuk mengelakkan perbelanjaan luar jangka seperti ini, bakal pengantin boleh membuat inventori dan senarai yang tepat bagi setiap bahan yang hendak dimasukkan ke dalam uncang hadiah.